PRU15: 222 pusat penamaan calon seluruh negara mula dibuka
PUTRAJAYA, 5 Nov – Pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mula dibuka hari ini di 222 pusat seluruh negara.
Juga diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya di Sabah.
Penyerahan kertas penamaan calon kepada pegawai pengurus PPC bermula 9 pagi dan berakhir 10 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari mengundi awal pada 15 Nov (Selasa) manakala hari mengundi pada 19 Nov (Sabtu).
Pilihan raya kali ini diadakan semula dalam suasana meriah dan sesak tanpa sebarang prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 Nov.
Penamaan calon bagi PRU15 di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN di Perak, 42 kerusi di Pahang dan 15 kerusi di Perlis.
SPR hanya membenarkan calon, pencadang calon dan penyokong masuk ke PPC pada hari penamaan calon.
Penyokong dilarang menggunakan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa sahaja jenis kenderaan yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.
PRU15 diadakan selepas pengumuman pembubaran Parlimen ke-14 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Okt setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
PRK DUN Bugaya pula diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Bugaya selepas kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan PRK DUN itu tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.
Namun pada 7 Okt lepas, Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020 berkuat kuasa 6 Okt lepas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.