Sorting by

×

PRU: Anwar berdepan tiga saingan di Parlimen Tambun

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

IPOH, 5 Nov – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Tambun, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 Nov ini.

Anwar yang juga calon tunggal Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md. Hanafiah, calon Pejuang Abdul Rahim Tahir dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengumuman empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Tambun Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip pada 10.35 pagi selepas proses penamaan calon berjalan lancar dan ditutup pada 10 pagi.

Anwar tiba di pusat penamaan calon pukul 8.58 pagi manakala Aminuddin dan Ahmad Faizal masing-masing sampai pada 8.50 pagi dan 9 pagi, sebelum menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh Meru di sini hari ini.

Suasana pekarangan pusat penamaan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penyokong calon bertanding sebagai tanda sokongan dengan ada yang membawa sepanduk, bersorak serta mengalunkan selawat sepanjang calon masuk ke pusat penamaan calon.

Perkarangan tersebut turut dikawal ketat polis dengan memasang penghadang untuk mengelakkan berlakunya pertembungan penyokong.

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Ahmad Faizal atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, menewaskan calon BN dan PAS sebanyak 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

Anwar ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon oleh Pegawai Pengurus SPR, berkata beliau bersedia menawarkan pembaharuan demi kesejahteraan warga Tambun.

“Kami di sini untuk menawarkan alternatif kepada program ekonomi dan polisi dan ketegangan sosial antara pelbagai komuniti, dan saya rasa itu berikan kami kelebihan tambahan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata kempennya akan tertumpu menambat hati pengundi muda yang dilihat penting dalam menentukan wakil rakyat kawasan itu, terutama selepas pelaksanaan Undi18 pada PRU kali ini, biarpun mengakui mempunyai kelebihan sebagai calon tempatan.

Calon Pejuang Abdul Rahim Tahir pula berkata kempennya akan memberi penekanan membawa suara anak muda, serta menyebarkan kepentingan golongan itu menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam menentukan masa hadapan negara.

Dalam pada itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan PH, PN dan BN manakala DUN Ulu Kinta melibatkan empat penjuru daripada PH, PN, BN dan seorang calon Bebas.

SPR menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRU15, manakala pengundian awal pada 15 Nov.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2934
Kongsi :
Previous post PRU15: Tiada calon menang tanpa bertanding, enam pencalonan ditolak – SPR
Next post Sungai Buloh pertarungan paling sengit dalam karier politik saya – Khairy
Ubah saiz-+=