PRU-15: PAS Melaka harap lebih tiga kerusi termasuk parlimen
DURIAN TUNGGAL 7 Jan. – PAS Melaka berharap diperuntukkan sekurang-kurangnya lebih daripada tiga kerusi termasuk satu parlimen pada pilihan raya umum ke- 15 (PRU-15) akan datang.
Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamaruddin Sidek berkata, kerusi itu pula haruslah ‘selamat’ yang boleh dimenangi calon mereka.
“Saya boleh andaikan (PRU-15) janganlah satu atau dua kerusi, itu terlalu rendah sangat dan kita harap lebih daripada tiga kerusi termasuk satu parlimen paling kurang.
“Itupun adalah kerusi yang boleh menang sebab kalau kita tengok dalam pola politik sekarang walaupun PAS tidak mempunyai kerusi di Melaka, ia (PAS) dilihat peranan besar sebagai king maker.
“Sebab dalam keputusan UMNO (mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam pun, mereka tetap ingin bersama PAS begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebab peranan PAS ini penting untuk penyatuan orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah 2021 yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary di Dewan JAPERUN Durian Tunggal, Alor Gajah di sini hari ini.
Mengulas mengenai peranan PAS untuk mengurangkan pergeseran antara UMNO dan BERSATU Kamaruddin yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri berkata, PAS Melaka tidak akan mencampuri urusan dalaman mereka namun berusaha menjadi pendamai suasana tegang itu.
“PAS tidak mahu mencampuri keputusan mereka (UMNO dan BERSATU) dan PAS Melaka senada dengan PAS pusat ke arah menyatukan orang Melayu selain tidak mahu melihat pertandingan tiga penjuru (dalam PRU-15). Kita tak nak ulangi kesilapan PRU-14.
“Sekarang ini kita berusaha untuk kendurkan (pergeseran), kita akan cuba dekatkan (hubungan UMNO dan BERSATU),” katanya.
Ditanya adakah PAS akan meletakkan calon mereka sekiranya UMNO bertanding di Parlimen Masjid Tanah dan Alor Gajah, beliau berkata akan melihat apakah saranan PAS di peringkat pusat mengenai kerusi mana yang lebih kuat dimenangi orang Melayu.
“Apa yang penting adalah untuk elakkan pertandingan tiga penjuru. Tapi ada tempat-tempat yang berkemungkinan berlaku tiga penjuru dan kita tak boleh elak ia berlaku.
“Cuma di situ PAS akan bergerak untuk coolkan (redakan) suasana, sebab kita tak nak parti-parti Melayu ini hilang kuasa,” katanya.
Pada PRU-14, PAS tewas di kesemua lima kerusi Parlimen yang ditandingi mereka termasuk Masjid Tanah, kecuali Parlimen Kota Melaka yang menyaksikan PAS tidak meletakkan calon.