Sorting by

×

Proton sasar 4,000 jualan X50 tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG MALIM 16 Sept (Bernama) — Proton Holdings Bhd (Proton) secara rasmi telah mengesahkan bahawa kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi segmen premium B-segmen (SUV) kumpulan itu akan dijual di bawah nama X50 dan menetapkan sasaran jualan konservatif bagi tahun ini sebanyak 4,000 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (CEO) Roslan Abdullah berkata kilang Tanjung Malim mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 8,000 unit X50 sehingga akhir tahun dan berupaya memenuhi permintaan yang lebih tinggi.

“Tempahan boleh dibuat mulai esok di mana-mana cawangan Proton.

“Dengan itu, pelanggan masih boleh menikmati insentif pengecualian cukai jualan yang ditawarkan oleh kerajaan sehingga akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama semasa pratonton SUV itu kepada media semalam.

Turut hadir ialah CEO Proton Dr Li Chunrong dan timbalannya, Datuk Radzaif Mohamed.

Harga jualan untuk X50 akan didedahkan semasa pelancaran rasmi tidak lama lagi.

Katanya, pengeluaran X50 secara tempatan itu sedang berjalan lancar di kilang Tanjung Malim, yang mana, Proton melalui strategi eksportnya telah berjaya menembusi beberapa pasaran luar negara terutamanya di rantau ASEAN dan Afrika.

SUV yang berasaskan model Geely Binyue dari China itu, kini menampilkan logo Proton dengan ciri unik untuk disesuaikan dengan pasaran Malaysia seperti sistem pencucuhan tanpa kunci kawalan jauh dan keupayaan untuk mengaktifkan penyaman udara sebelum pengguna memasuki kabin.

Empat varian akan diperkenalkan iaitu Standard, Eksekutif, Premium dan Utama dengan enam pilihan warna iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, citric orange dan passion red.

Tiga varian pertama akan dijana dengan enjin turbo 1.5 manakala varian Utama akan digerakkan dengan enjin turbo suntikan langsung penyejukkan (TGDi) 1.5 liter. Ia juga akan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu tercanggih serta tingkap bumbung panorama.

— BERNAMA

Views:

284
Kongsi :
Previous post ‘Jangan tangkap ikan Nemo’
Next post Agong zahir ucapan Selamat Ulang Tahun ATM Ke-87
Ubah saiz-+=