Proses penjurian saringan pertama pidato Rukun Negara bermula semalam
MELAKA 10 Ogos – Proses penjurian saringan pertama Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, bertemakan ‘Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat’ telah bermula semalam dan akan berlangsung selama empat hari.
Pengerusi Jawatankuasa Juri PPRN, Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, saringan itu melibatkan 50 juri yang dilantik dalam kalangan pakar ilmuan, pendidik dan mereka yang mempunyai latar belakang dalam bidang kepimpinan.
“Garis panduan pemberian markah video pidato bagi semua lima kategori yang dipertandingkan sehingga saringan di peringkat akhir adalah sama, iaitu 30 peratus untuk aspek idea, misi atau ketepatan tajuk atau tema yang dibahaskan.
“Baki pemarkahan 70 peratus pula dinilai dari aspek penampilan dengan pecahan 30 peratus bagi aspek penyampaian yang jelas dan menarik, penyampaian bersemangat dan personaliti (20 peratus), gaya dan kreativiti (20 peratus),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi saringan pertama, sebanyak 10 video pidato terbaik setiap kategori akan dipilih untuk ke peringkat separuh akhir, yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Ogos ini.
Katanya bagi peringkat akhir pula, hanya tiga video pidato terbaik bagi setiap kategori akan dipilih dan dinilai oleh 25 juri profesional.
Abdul Latiff berkata, proses penilaian saringan pertama agak mencabar kerana jumlah penyertaan yang diterima amat menggalakkan, membabitkan 884 video daripada lima kategori iaitu Sekolah Menengah (404 video), Sekolah Rendah (322 video), Awam (64 video), Institut Pengajian Tinggi (48 video) dan Bukan Melayu (46 video).
“Bukan mudah untuk menilai video yang begitu banyak tetapi saya ucapkan terima kasih kepada para juri yang terlibat di peringkat saringan ini, yang begitu gigih memberi markah untuk video dan pembahas terbaik,” katanya.
Pertandingan pidato anjuran Pejabat Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta Kementerian Perpaduan Negara itu menawarkan wang tunai RM300 hingga RM5,000, serta pelbagai hadiah menarik termasuk piala pusingan, piala iringan, koleksi buku dan sijil penyertaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.