Promosi TMM2024 di London – KM
AYER KEROH – Promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di luar negara diteruskan menerusi penyertaan Kerajaan Negeri pada penganjuran World Travel Market (WTM) London 2023, United Kingdom (UK) yang berlangsung dari 6 hingga 8 November.
Peluang itu dimanfaatkan delegasi Kerajaan Negeri yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk memperhebatkan lagi kempen TMM2024 dengan slogan’Mana Lagi? Melaka Ler…’.
Ab Rauf menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau berkata, WTM London 2023 adalah satu acara penting dalam kalendar pemasaran pelancongan global yang perlu dimanfaatkan untuk memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pilihan dunia.
Terdahulu, Ab Rauf bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka mengikuti sesi ‘pre-briefing’ di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London sebagai persediaan sebelum pembukaan rasmi WTM London 2023.
“Tujuan pre-briefing ini adalah untuk memberikan informasi terkini mengenai pasaran UK dan strategi akan digunakan untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama, termasuk meningkatkan visibiliti serta profil negeri ini di mata dunia.
“Penyertaan Melaka pada WTM London 2023 tepat pada masanya menjelang kempen TMM2024, selain dapat membantu memperkenalkan dan mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan di Negeri Melaka, pada masa yang sama berpeluang menjalin kerjasama dengan penggiat industri pelancongan antarabangsa,” katanya.
Antara delegasi Melaka mengiringi Ab Rauf Adalah Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
WTM London 2023 menghimpunkan lebih 35,000 pemain industri pelancongan global dari 184 negara di ExCel London.
Penganjuran itu merupakan platform pemain sektor pelancongan seluruh dunia berhimpun untuk membincangkan idea dan strategi inovatif serta memperincikan keadaan ekonomi 2023 untuk pasaran pelancongan domestik yang akan berkembang pada tahun 2024.
Acara WTM London 2023 merupakan medium penting bagi pemain industri pelancongan dunia mengukuhkan perkongsian, meneroka kerjasama baharu serta mempamerkan produk pelancongan di negara masing-masing kepada dunia.
Malah WTM London 2023 merupakan platform ideal untuk pemain industri pelancongan menyerlahkan tawaran bertaraf dunia selain membincangkan trend dan inovasi terkini dalam sektor pelancongan
Pelbagai isu, trend dan inovasi terkini dalam pelbagai sektor pelancongan dibincangkan termasuk sektor pelancongan perubatan, pelancongan rekreasi, pelancongan sukan dan pelbagai lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.