Sorting by

×

PROMOSI KEUNIKAN MELAKA DI BERLIN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Penyertaan Melaka dalam Internationale Tourismus-Börse (ITB) Berlin 2025 iaitu pameran berkaitan pelancongan dan perdagangan terbesar dunia bakal memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ekspo yang diadakan di Messe Berlin, Jerman itu merupakan sebahagian usaha Tourism Malaysia dan Tourism Melaka mempromosikan Kempen Tahun Melawat Melaka 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)

Menurut beliau, Tourism Melaka yang menjadi sebahagian delegasi Malaysia turut mengadakan sesi pertemuan perniagaan dengan pemain industri pelancongan dari Jerman dan Eropah sepanjang berada di sana.

Jelas beliau, ia bertujuan menarik lebih ramai pelancong Eropah ke Melaka dengan memperkenalkan pakej pelancongan khas dan menjalin kerjasama strategik dengan syarikat pelancongan antarabangsa.

“Menara Taming Sari dan Melaka River Cruise turut memainkan peranan dalam memperkenalkan pengalaman unik kepada pelancong antarabangsa.

“Beberapa rundingan awal bersama dengan syarikat pelancongan utama dari Jerman yang menunjukkan minat untuk membawa lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Dengan keunikan sejarah, budaya, makanan yang enak serta hospitaliti yang luar biasa, Melaka bersedia menerima lebih ramai pelancong dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.

Abdul Razak yang mengetuai Delegasi Kerajaan Negeri Melaka memaklumkan, ekspo berkenaan berlangsung dari 4 hingga 6 Mac membabitkan sebanyak enam pejabat pelancongan negeri, 16 pengendali pelancongan, 15 hotel dan resort, dua produk pelancongan dan satu persatuan sukan Malaysia yang dirangkumkan di bawah Pavillion Malaysia.

Beliau berkata, Pavillion Malaysia menekankan konsep pelancongan berkualiti dan lestari, termasuk eko-pelancongan, pelancongan budaya dan warisan serta gastronomi.

Pada masa sama, ia turut mengetengahkan keistimewaan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan menonjolkan tapak warisan dunia UNESCO, kepelbagaian budaya serta makanan tradisional yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post HOLIDAY INN MELAKA SANTUNI 30 ANAK YATIM BERBUKA PUASA
Next post LEBIH RM145,000 SINARI RAMADAN DUN TANJUNG BIDARA