Sorting by

×

Promosi Bible di kawasan pelancongan: Polis Melaka terima 4 laporan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Polis Melaka menerima empat laporan polis berhubung kegiatan mempromosi agama Kristian di hadapan Surau Warisan, Banda Hilir, minggu lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah berkata, dua laporan itu diterima di daerah Melaka Tengah, manakala masing-masing satu di daerah Alor Gajah dan Jasin.

Jelas beliau, kesemua laporan itu diterima semalam (2 Ogos) susulan tularnya rakaman video berdurasi 16 saat di aplikasi TikTok memaparkan dua wanita menyebarkan risalah Bible di kawasan pelancongan.

“Laporan pertama diterima daripada Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berusia 40 tahun, kira-kira 2.50 petang semalam.

“Ia disusuli laporan polis daripada pegawai di Pejabat Agama Islam Alor Gajah berusia 48 tahun pada jam 5.21 petang semalam.

“Selain itu, dua lagi laporan polis diterima daripada pengayuh beca yang meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan perancang seperti dalam video yang tular,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainol berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dengan menyentuh isu membabitkan 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja) di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post Geran RM1 juta untuk teknologi ternakan ketam di Sungai Rambai
Next post Zainal Rabin sudah tiada
Ubah saiz-+=