Projek Sunduk Korban, elak pembaziran daging
KESIDANG 5 Julai – Bagi memanjangkan hayat dan mengelak daripada berlakunya pembaziran daging korban, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Persatuan Gabungan Saudara Baru Melaka memperkenalkan program Projek Sunduk Kurban.
Program yang memasuki siri ketiga tahun ini adalah cetusan idea Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.
Menurut Abdul Halim, menerusi program itu daging korban yang disumbangkan kemudian akan dibekukan secara pembungkusan vakum bagi memastikan ia selamat disimpan.
Katanya, menerusi program itu pihaknya tidak menganjurkan korban sebaliknya mengumpul daging yang disumbangkan.
“Sunduk ini bermaksud peti atau tabung dan idea ini tercetus apabila melihat terdapat banyak sangat lambakan daging korban, ini kerana ada antara pihak penganjur dan masjid tidak dapat agihkan.
“Jadi kita ambil inisiatif dengan melaksanakan program ini. Perkara sama turut dilaksanakan di Arab Saudi yang mana daging yang disumbangkan dimasak dan ditinkan sebelum disalurkan ke negara miskin yang lain,” katanya.
Abdul Halim berkata, daging-daging yang disumbangkan oleh penganjur program korban atau orang persendirian akan dikumpulkan sebelum disimpan didalam peti sejuk beku dan diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Apa yang kita buat adalah mengumpulkan daging korban dan ia dibuat secara sukarela oleh kami. Daging yang disumbangkan kami akan asingkan lemak, organ dalaman dan tulang, hanya daging pejal sahaja yang diambil untuk dibekukan serta disimpan.
“Daging ini kami bekukan dan kemudian diagihkan kepada golongan memerlukan seperti asnaf termasuk saudara baru selain turut dijadikan antara kit bagi sumbangan,” katanya.
Jelasnya, memasuki siri ketiga penganjuran sambutan Program Sunduk Korban ia semakin mendapat sambutan dan beberapa penambahbaikkan turut dilakukan dalam penyimpanan daging korban.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.