Projek ‘Periuk Nasi Selatan’ musnah akibat banjir
AYER LIMAU 4 Jan – Tiga pelabur industri penanaman padi berkualiti tinggi menanggung kerugian RM750,000 selepas padi di sawah seluas 72 hektar di Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, di sini rosak teruk akibat banjir.
Projek Periuk Nasi Selatan yang bertujuan menghasilkan padi hibrid berkualiti tinggi musnah akibat kejadian pada 18 Dis lalu dan diburukkan lagi dengan banjir berulang pada Sabtu lalu.
Pemilik syarikat itu, Datuk Abdul Karim Yahya, 60, berkata beliau dan dua rakan kongsinya, Mohamed Shafrick Yusof, 48, dan Md Fadzil Mohamad, 52, terpaksa menanggung kerugian selepas keseluruhan sawah dinaiki air setinggi 1.3 meter pada kejadian banjir itu.
Beliau berkata, pihaknya mengambil alih penanaman padi di Kampung Sungai Siput daripada pengusaha padi bukan Bumiputera yang memajak keseluruhan 72 hektar sawah daripada penduduk kampung pada pertengahan tahun lalu, sebelum memulakan projek pada Ogos 2021.
“Projek itu bertujuan menghasilkan padi hibrid berkualiti tinggi kerana mengandungi karbohidrat lebih rendah berbanding padi konvensional di wilayah selatan Semenanjung, membabitkan Melaka dan Johor.
“Namun, kini semuanya musnah akibat banjir dan kami terpaksa menanggung kerugian akibat banjir yang berlaku,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Mohamed Shafrick, pemilik syarikat pengimport dan pengedar baja organik yang beribu pejabat di Ayer Hitam, Johor berkata, banjir besar menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa.
“Luluh hati kami apabila menyaksikan padi yang kami tanam dengan bantuan beberapa pekerja yang sudah sedia untuk dituai, tiba-tiba musnah akibat banjir pada 18 Disember lalu dan diburukkan lagi dengan banjir pada Sabtu lalu.
“Namun, kami reda kerana ujian Allah menimpa semua orang dan kami meminta kerajaan negeri Melaka, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membantu kami memulakan semula projek ini,” katanya.
Md Fadzil berkata, kedua-dua jenis benih padi berkenaan juga bertujuan mengurangkan padi angin, iaitu pokok padi yang berbuah tetapi tiada mengandungi padi.
Katanya, baja yang diimport itu dihasilkan daripada ‘humie acid’, iaitu arang batu yang digali dari dalam bumi di AS sebelum diproses menjadi baja berkualiti tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.