Projek 1 Kampung, 1 Pantun warnai TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Bagi mewarnai dan menambah seri Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Kerajaan Negeri bakal melaksanakan ‘Projek 1 Kampung 1 Pantun’.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek itu diwujudkan bagi memastikan seni dan budaya negeri itu terus diwarisi generasi akan datang.

Katanya, pantun-pantun yang dihasilkan penduduk kampung itu bakal menghiasi gerbang serta papan tanda di 701 buah kampung dan 1,021 taman perumahan seluruh negeri.

“Sebelum ini, saya mencadangkan pertandingan pantun ini diadakan di peringkat sekolah dan kini saya memberi pandangan lebih jauh untuk melaksanakan di kampung-kampung bagi menarik penyertaan lebih ramai rakyat di negeri ini.

“Bukan satu atau dua pantun, tetapi orang ramai boleh menghantar seberapa banyak pantun yang menarik kepada pangkalan data yang kita sediakan menerusi Bahagian Teknologi dan Maklumat.

“Pantun-pantun ini kemudiannya akan dinilai oleh panel terbaik, termasuklah dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pemuisi-pemuisi hebat tanah air yang mana hadiah menarik turut disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan gulung penangguhan sempena Persidangan Kedua, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, pantun-pantun terbaik yang dihasilkan rakyat Negeri Melaka juga akan turut menghiasi koridor dan gerbang pintu masuk ke Melaka sebagai daya penarik kepada pelancong.

“Ia sekali gus dapat dihayati oleh pelancong dan pengunjung yang datang bahawa negeri ini juga bukan sahaja kaya dengan kesantunan bicara, malah bijaksana dalam mengolah seni bahasa.

“Saya percaya, dengan memperagakan seni dan warisan budaya Melayu seperti pantun, Melaka akan jadi tumpuan kepada pencinta-pencinta bahasa rumpun Melayu seluruh nusantara,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1152
Kongsi :
Previous post Sidang DUN Melaka matang, beradab
Next post TAPS Tasik Biru Chin Chin bantu sumber air tambahan Melaka
Ubah saiz-+=