Program uKasih ‘gerbang’ miskin tegar jadi usahawan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 1 Mac – Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka menyasarkan seramai 45 golongan miskin tegar akan menyertai program Usaha Kasih (uKasih) tahun ini.

Pengarahnya, Megat Azlani Megat Ramli berkata, menerusi program rintis dijalankan itu kesemua peserta terpilih akan menjalankan program keusahawanan sebagai antara langkah utama pihaknya membasmi kemiskinan di negeri ini.

Beliau berkata, kesemua peserta yang disenaraikan akan dipilih menerusi senarai penama yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

“Objektif utama program yang dilaksanakan ini adalah untuk membantu mereka mengeluarkan diri mereka dari garis kemiskinan yang ada.

“Dengan program ini peserta akan diberi bantuan dari bentuk peralatan kedai, bimbingan dan latihan dan sebagainya untuk menceburkan diri mereka dalam bidang keusahawanan mahupun perkhidmatan.

“Program dijalankan ini merupakan projek rintis dilancarkan sejak tahun lalu yang terkandung dalam pelbagai program dilaksanakan pihak kami bagi membantu masyarakat dalam pelbagai program peningkatan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Back To School PPN Melaka dijalankan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Semalaysia (YaPEIM).

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pelbagai program-program membasmi kemiskinan menjadi fokus utama agensi berikutan di Melaka setakat Februari lalu merekodkan 1,442 penama berdaftar di bawah eKasih adalah merupakan miskin tegar.

“Jumlah yang direkodkan di bawah Garis Kemiskinan Tegar (PGK) 2019 di negeri ini memerlukan usaha-usaha untuk membasmi mereka dari kemiskinan.

“Seperti program uKasih kita akan lihat bagaimana ia mampu menjadi pemangkin kepada usaha ini kerana program yang diberi sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri ini akan dibesarkan sekiranya menerima pulangan dan mampu mengubah nasib mereka akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1768
Kongsi :
Previous post TDM tetapkan tiga fokus utama mantapkan ketumbukan TDM – Zamrose
Next post 25 keluarga eKasih terima bantuan persekolahan
Ubah saiz-+=