Program SULUNG unik fokus bantu pelajar B40 lanjut pelajaran ke menara gading – PM
BATU PAHAT, 18 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memuji program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana ia memfokuskan usaha membantu pelajar B40 menjejakkan kaki ke menara gading.
Perdana Menteri berkata kredit harus diberikan kepada KPT atas inisiatif tersebut kerana program unik tersebut bukan sahaja memberi laluan khusus kemasukan pelajar B40 ke universiti awam, tetapi turut menawarkan biasiswa, asrama dan pementoran sehingga pelajar mendapat pekerjaan.
“Menjadi harapan saya agar dengan tahap pendidikan yang baik, kelak akan membawa anak-anak ini keluar dari kitaran B40, seterusnya dapat berdikari selepas tamat pengajian.
“Kejayaan mereka ini nanti bukan sahaja memberikan motivasi kepada keluarga, tetapi juga kepada komuniti setempat,” kata perdana menteri ketika berucap pada Karnival KPT Keluarga Malaysia di Parit Sulong dekat sini hari ini.
Justeru, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengajak dan menyeru badan-badan korporat untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan program berkenaan.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.
Ismail Sabri berkata kerajaan mengetengahkan nilai kebersamaan menerusi konsep Keluarga Malaysia dan dalam konteks pengajian tinggi, ia diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk inisiatif.
Ini, katanya, bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan keluarga B40.
“Selain menyediakan fasiliti pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti, kerajaan juga sedaya upaya memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan lebih selesa.
“Bukan sahaja bantuan seperti kewangan, pelan data dan pengurangan yuran, malah kerajaan turut membantu memastikan para pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian nanti,” kata Ahli Parlimen Bera itu.
Sementara itu, Noraini ketika berucap berkata program SULUNG yang berlangsung tiga hari bermula semalam, adalah manifestasi usaha dan komitmen kerajaan dalam memenuhi kehendak serta keperluan rakyat terutama dalam bidang pengajian tinggi.
“Menyedari hakikat betapa pentingnya untuk merakyatkan universiti, kami bawa program ‘Jom Masuk IPT’ ke daerah Batu Pahat khususnya ke kawasan Parit Sulong.
“Lebih 30 universiti, agensi dan jabatan yang datang bersama, membuka ruang pameran memberi penerangan dan ada menawarkan khidmat nasihat penempatan, kaunseling dan pembiayaan pengajian tinggi.
Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata dalam program itu turut menyediakan pameran kerjaya seperti MyFutureJobs dengan kerjasama PERKESO bersama 15 syarikat dalam pelbagai industri dan ekonomi yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.