Program subsidi upah 3.0 ditambah baik, semua majikan di kawasan PKP layak memohon

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan ditambah baik dengan semua majikan yang beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang daripada RM4,000.

“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

“Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika membuat pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) melalui siaran langsung TV dan platform sosial media di sini, hari ini.

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, perdana menteri berkata kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP PRIHATIN).

“Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, bagi membantu aliran tunai perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) , Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan skim-skim mikro kredit, seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.

“Sejumlah RM1 bilion kemudahan mikro kredit disediakan, merangkumi pinjaman mudah berjumlah RM390 juta oleh Bank Simpanan Nasional, RM350 juta oleh Agrobank dan RM295 juta oleh TEKUN,”jelasnya.

Bagi terus menyokong golongan usahawan dan perniagaan untuk menjana pendapatan melalui jualan dalam talian atau platform e-dagang, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta.

Melalui kempen berkenaan, para usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan melalui jual-beli secara dalam talian.

Untuk Geran Khas Prihatin Tambahan (GKP Tambahan) pula, beliau berkata kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan kepada 500 ribu PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 300 ribu PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.

“Perluasan inisiatif GKP Tambahan ini, atau GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.

“Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta,” katanya. – BERNAMA

Views:

1350
Kongsi :
Previous post Seremban dan PD pula kena PKP bermula esok
Next post KPM umum peperiksaan percubaan SPM 2020 dibatalkan
Ubah saiz-+=