Program skala besar bantu promosi TMM2024
AYER KEROH 3 Sep – Penganjuran Karnival Jualan Mega Agro Madani bukan sahaja dapat membantu ushawan meningkatkan pendapatan malah membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan penganjuran program besar sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa seperti pelaksanaan Karnival Jualan Mega Agro Madani di Melaka.
Beliau berkata, ia amat bertepatan dengan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan dan program ini juga dilihat dapat membantu mempromosikan kempen TMM2024.
“Kerajaan Negeri berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan seterusnya menjadi bukti kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa sektor pertanian merupakan sektor berpontensi serta berdaya saing untuk terus diperkasakan.
“Malah penganjuran karnival ini juga bertujuan untuk membantu usahawan dan pemasar agro makanan meningkatkan pendapatan mereka melalui peluang pasaran yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Majlis Perasmian Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2023, di Dataran Sejarah Ayer Keroh, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyokong agenda Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi sehingga dapat memacu ekonomi.
“Dalam hal ini pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui portfolio Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam membangunkan sektor pertanian secara menyeluruh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.