Program ReDI KPDNHEP manfaatkan 6,700 peniaga kecil
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata angka itu menunjukkan sambutan baik golongan peniaga kecil terhadap usaha kerajaan dalam menggalakkan model perniagaan baharu secara digital yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Berdasarkan perkembangan tersebut, Rosol berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) percaya mampu mencapai sasaran 15,000 pengguna sehingga akhir tahun ini.
“ReDI adalah inisiatif KPDNHEP untuk menggalakkan pemain industri sektor peruncitan supaya sama-sama mengambil peluang berkongsi kek ekonomi digital yang disediakan kerajaan.
“Fokus utama adalah kawasan luar bandar iaitu di lokasi seperti pasar tani, pasar malam dan pasar komuniti yang jurang digitalnya sangat besar dengan kawasan bandar,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra ReDI dan agihan e-dompet kepada peniaga dan pengunjung Pasar Tani Kuala Ping di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP dan Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.
Pada program itu, KPDNHEP turut mengagihkan insentif e-dompet sebanyak RM20 kepada 300 pengunjung terawal yang hadir di pasar berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata sebanyak 639 sesi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) telah dianjurkan di seluruh negara bermula Ogos hingga Oktober lepas manakala jumlah jualan yang dicatatkan melebihi RM60 juta termasuk RM15.8 juta di Terengganu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.