Program Pertanian Bandar bantu kurang kos sara hidup

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MERLIMAU 19 Dis – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM10 juta bagi memperluaskan lagi Program Pertanian Bandar atau Kebuniti pada tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan itu adalah usaha kementerian bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat khususnya yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, selain pertambahan jumlah peruntukan, bilangan peserta pada tahun hadapan juga akan diperluaskan.

“Pada tahun ini kita memperuntukkan RM4.5 juta yang memberi manfaat kepada 39, 608 individu di seluruh negara dan untuk tahun hadapan kita peruntukan RM10 juta.

“Selain peruntukan tahunan, kerajaan juga memberi peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan untuk Program Kebuniti berjumlah RM63.32 juta sepanjang 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Kit Pertanian Bandar Bagi Japerun Serkam dan Merlimau, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Regulatori) Jabatan Pertanian Malaysia, Norsam Alwi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh; ADUN Serkam, Datuk Zaidi Atan serta Pengarah Jabatan Pertanian Melaka, Rozli Azizi Talib.

Menurut beliau, menerusi Program Kebuniti, seramai 3,700 orang menerima manfaat bagi seluruh negeri Melaka sepanjang tahun ini.

“Secara keseluruhan peruntukan untuk Melaka tahun ini bernilai RM3, 795, 500 dan untuk Parlimen Jasin sahaja seramai 890 menerima manfaat.

“Untuk hari ini sebanyak 120 kit disediakan Jabatan Pertanian Negeri Melaka dan diagihkan kepada penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan 150 kit lagi untuk DUN Serkam,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, Program Pertanian Bandar adalah inisiatif diambil MAFI untuk memastikan aktiviti pengeluaran makanan disokong oleh semua peringkat masyarakat khususnya golongan B40.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1118
Kongsi :
Previous post Banjir: 595 mangsa di 9 pusat pemindahan Melaka
Next post Banjir: Pejabat daerah kenal pasti mangsa terjejas sebelum salur bantuan – KM
Ubah saiz-+=