Sorting by

×

Program percuma sanitasi sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KLEBANG 30 Sept – Menjelang pembukaan semula sekolah 4 Oktober ini, kumpulan sukarelawan dari Pertubuhan Pembela Klebang Besar melakukan sanitasi percuma di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar hari ini.

Pengerusi pertubuhan, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan berkata, program percuma itu menggambarkan keprihatinan semua pihak terhadap mereka yang memerlukan bantuan sepanjang waktu pandemik COVID-19.

Menurutnya, tugas berkenaan tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak berkaitan semata-mata sebaliknya setiap lapisan masyarakat boleh berperanan mengikut kemampuan masing-masing.

“Kami terpanggil untuk melakukan program sanitasi percuma ini agar pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dalam suasana bersih tanpa perlu bimbang akan penularan virus di sekolah.

“Inilah salah satu usaha yang dapat dilakukan untuk mengawal jangkitan virus ini yang sudah menjadi sebahagian dari kehidupan kita pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

MOHD Yusof (kiri) menyerahkan penyembur pembasmi kuman dan penutup muka kepada Azman untuk kegunaan 85 guru SMK Klebang Besar kepada

Pengetua sekolah berkenaan, Azman Mohd Dum sementara itu berterima kasih terhadap usaha berkenaan yang secara tidak langsung menambah keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah Isnin ini.

Menurutnya buat permulaan, seramai 35 pelajar berusia 13 hingga 19 tahun terdiri daripada pelajar murid berkeperluan khas (MBK) akan memulakan sesi persekolahan Isnin ini sebelum kelas lain dibuka secara berperingkat.

“Mungkin masih ada ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah, jadi dengan adanya program sanitasi ini menunjukkan pihak sekolah telah berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan persekitaran terbaik buat pelajar.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) mencegah jangkitan COVID-19 sentiasa diamalkan dan diharapkan lebih banyak sukarelawan tampil membantu pihak sekolah seperti program hari ini,” katanya.

Pada program itu, Pertubuhan Pembela Klebang Besar turut menyampaikan kit penyembur pembasmi kuman dan penutup muka untuk kegunaan kira-kira 85 guru sekolah berkenaan yang mempunyai seramai 950 pelajar.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1008
Kongsi :
Previous post Jantan Baba pahlawan negara berhati waja – KM
Next post Pembukaan pintu sempadan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik COVID-19
Ubah saiz-+=