Program Penggalak Emas ‘senjata’ rahsia Melaka hadapi SUKMA
BANDAR MELAKA 3 September – Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka mewujudkan Program Penggalak Emas dalam menyuntik galakan kepada atlet negeri ini meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri VP Shanmugam berkata, program itu merupakan tambahan daripada Projek Emas yang telah diwujudkan sebelum ini.
Menerusi program itu, katanya, sukan yang disasarkan prospek emas untuk negeri ini akan diberi perhatian khusus dengan pelbagai program yang disediakan.
“MSN Melaka sendiri akan menjadi teraju utama untuk membina dan menggalakkan usaha mencapai emas yang dibantu oleh persatuan sukan yang terlibat.
“Saya berharap inisiatif mewujudkan program tambahan ini akan dapat menjadi satu lagi pendekatan yang lebih berkesan untuk mencapai sasaran emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka kepada Ketua Kontinjen Sempena Sukan Malaysia XX, MSN 2022 di Auditorium Masjid Al Azim, di sini, hari ini.
Simbolik Penyerahan Bendera Negeri Melaka kepada ketua kontinjen Melaka itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Hadir sama, Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Zaidi Attan; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengarah MSN Melaka Mahathir Mustafa dan ketua-ketua jabatan.
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, MSN Melaka turut mengadakan Kem Kontinjen pada 24 Julai lalu bertujuan mewujudkan semangat kesukanan sesama kontinjen.
Katanya, antara pengisian kem tersebut ialah ceramah berbentuk motivasi dan pengetahuan sains sukan kepada semua atlet yang terlibat.
Menurutnya, pada SUKMA Edisi Ke-20 yang akan berlangsung pada 16 hingga 24 September ini, seramai 469 atlet, 91 jurulatih, 37 pengurus pasukan dan chaperon serta 63 pegawai akan mewakili kontinjen Melaka.
Kesemua 31 jenis sukan akan disertai Melaka pada edisi kali ini dengan sasaran 20 pingat emas akan dibawa pulang ke Negeri Bersejarah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.