Program pemberian vaksin remaja lancar

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

LENDU 22 Sept. – Program vaksinasi remaja berusia 16 dan 17 tahun pada hari pertama berjalan lancar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Seramai 396 remaja dari dua sekolah di daerah ini menerima vaksin dengan 234 daripada mereka dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Ehya Al Karim, Tanjung Bidara dan 162 dari SMA Darul Falah, Kuala Sungai Baru.

Timbalan Ketua (Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Jamaludin Ahmad berkata, pelajar terbabit turut ditemani ibu bapa masing-masing.

“Alhamdulillah, segala urusan pemberian vaksin pada hari pertama ini lancar,” katanya selepas menerima sumbangan 400 roti dan 400 botol air galian daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah yang disampaikan Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Norihan Bahari di kompleks itu, hari ini.

ADRIANA Fatima al-Zahra (dari kiri), Suriana, Nurfarhana Humairah dan Noraliza meneliti dokumen pemberian vaksin.

Sementara itu, pelajar SMA Ehya Al Karim, Adriana Fatima al-Zahra Aziz, 17, berkata dia mendaftar penerima vaksin Julai lalu dan bersyukur dipanggil menghadiri janji temu suntikan hari ini.

“Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan untuk menerima vaksin hari ini dan terima kasih saya ucapkan kepada guru yang bersusah payah mengendalikan urusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hingga saya menerima vaksin hari ini.

“Sebelum ini saya pernah mendengar pelbagai cerita negatif mengenai vaksin yang kononnya boleh menjejaskan kesihatan tetapi saya tidak mempercayainya,” katanya.

Ibunya, Suriana Sidek, 47, berkata dia tidak putus berdoa agar Allah memudahkan urusan anaknya untuk mendapatkan vaksin kerana ia amat penting sebagai perisai bagi mengelak dijangkiti pandemik COVID-19.

“Saya amat menghargai jasa dan budi guru menguruskan kehadiran anak saya di PPV ini dan terima kasih kerana sudi hadir di sini untuk memastikan segala urusan berjalan lancar,” katanya.

Nurfarhana Humairah Nordin, 17, berkata urusan pendaftaran dengan MySejahtera dimudahkan dengan tunjuk ajar guru dan ibunya, Noraliza Ahmad, 45.

“Alhamdulillah, selepas menerima suntikan, saya tidak merasakan apa-apa yang menjejaskan kesihatan, sebaliknya saya rasa macam biasa saja.

“Vaksin amat penting untuk membolehkan saya dan pelajar lain menghadiri kelas bersemuka bulan hadapan, sekali gus memperkukuh persediaan menghadapi peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post TS35 bukti Melaka utamakan kesepakatan, kepentingan rakyat
Next post Melaka lulus penubuhan Perbadanan M-WEZ
Ubah saiz-+=