PROGRAM PELANCONGAN LEBIH ‘RANCAK’ SEPANJANG 2025
SERI NEGERI 27 Disember – Lebih banyak program pelancongan berskala besar akan dianjurkan sepanjang tahun hadapan, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025).
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, selain mengekalkan program sedia ada, beberapa lagi penganjuran akan diperhalusi dalam usaha memberikan yang terbaik kepada pengunjung dan pelancong berkunjung ke Melaka.
“Selain memperhalusi perancangan program untuk tahun hadapan, ada juga penganjuran yang telah dilaksanakan pada 2024 diteruskan pada 2025 nanti. Mungkin yang kecil akan jadi lebih besar dan mungkin juga kita akan kekalkan seperti yang telah dilaksanakan tetapi dengan penambaikkan.
“Memandangkan tahun hadapan kita akan menerima kedatangan 155 Menteri Pelancongan seluruh dunia bersempena WTD2025 pastinya persiapan lebih baik diadakan dan juga beranggapan ia sebagai pra Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Razak, pihaknya juga akan turun padang dan masuk ke kampung-kampung menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi mengenal pasti individu yang berkebolehan dan berbakat untuk diketengahkan, sekali gus digilap menjadi artis budaya.
“Kita daripada sektor pelancongan warisan, seni dan budaya, akan mengenal pasti bukan sahaja daripada segi seni tetapi juga kebudayaan di kawasan yang kita turun, contoh individu berbakar dalam Dondang Sayang.
“Malah, di kampung-kampung ini juga banyak yang menghasilkan anyaman tikar, kraft angan, bakul dan sebagainya yang akan kita kenal pasti untuk diketengahkan selain itu kita juga akan mengangkat kembali sukan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri yakin sasaran seramai 15 juta pelancong dan pengunjung datang ke Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dapat dicapai sehingga penghujung tahun ini.
“Sehingga November kita sudah menerima seramai 13.7 juta pelancong dan pengunjung ke Melaka dan saya yakin sasaran 15 juta akan dapat dicapai pada penghujung tahun ini.
“Ini kerana sepanjang Disember ini terdapat 19 program bukan sahaja berskala besar tetapi juga berskala kecil. Selain itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana memberi kepercayaan kepada sektor pelancongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.