Program Mekar: Sebanyak 38,371 kad pengenalan diagihkan seluruh negara – JPN
Ketua Pengarah JPN Datuk Ruslin Jusoh berkata perkhidmatan yang dilakukan secara turun padang itu membabitkan penerima daripada golongan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit terlantar, pesakit kronik dan mereka yang tidak berupaya ke JPN.
“Perkhidmatan ini bukan sahaja diberikan kepada golongan berisiko dan berpenyakit kronik bahkan, ia juga meliputi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman termasuk Orang Asli yang sukar hadir ke JPN bagi melakukan urusan memperoleh kad pengenalan.
“Proses permohonan bagi perkhidmatan ini kebiasaannya dapat diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari dari tarikh permohonan sekiranya maklumat yang diperlukan lengkap. Malah, dengan adanya pendekatan proaktif ini, JPN dapat memastikan mereka yang layak peroleh pengenalan diri yang sah dan membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kad pengenalan kepada seorang warga emas Minah Ismail, 89, yang mempunyai masalah kesihatan dari Kampung Gaung, Tendong di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JPN Negeri Kelantan Asrehan Ab Razak.
Beliau berkata perkhidmatan berkenaan boleh dilakukan secara ‘phone-in’ melalui Program MEKAR iaitu menerusi talian 03-88808066 sekali gus ia dapat memudahkan masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan JPN secara dalam talian.
Sementara itu, mengulas mengenai ciri-ciri keselamatan kad pengenalan yang mudah ditiru oleh pihak tidak bertanggungjawab, Ruslin berkata pihaknya dari semasa ke semasa menambah baik ciri-ciri keselamatan kad pengenalan agar ia kekal selamat dan tidak mudah dipalsukan.
“Kita ada banyak ciri-ciri keselamatan pada kad pengenalan untuk mengelak daripada ditiru dan sebagainya. Ada sebahagian ciri-ciri itu boleh dilihat secara fizikal, manakala sebahagian lagi hanya mampu dilihat menggunakan alatan khas,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, lapan pengawal keselamatan warga Filipina mendakwa kad pengenalan palsu yang digunakan mereka dibeli daripada ejen dengan harga antara RM500 hingga RM800 setiap satu.
Menerusi laporan itu, pengakuan berkenaan didedahkan mereka ketika disoal siasat anggota penguat kuasa JPNÂ dalam satu operasi dijalankan di sekitar Shah Alam, Selangor pada April lepas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.