Program Imunisasi COVID-19 bermula hujung bulan ini dalam tiga fasa
KUALA LUMPUR 4 Feb. – Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang juga program vaksinasi terbesar pernah diadakan di Malaysia akan dilaksanakan bermula hujung bulan ini dengan pembahagian tiga fasa dan dijangkakan berakhir pada tahun hadapan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa pertama yang dilaksanakan sehingga April depan membabitkan 500,000 golongan barisan hadapan termasuk petugas kesihatan dan bukan kesihatan di negara ini.
Menurutnya, pada fasa kedua akan dilaksanakan menjelang April depan dengan membabitkan golongan berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19 termasuk warga emas, golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, orang kelainan upaya (OKU), pesakit diabetes, jantung dan darah tinggi.
“Bagi fasa kedua ini ia akan membabitkan seramai 9.4 juta orang penerima akan diberi suntikan vaksin di seluruh negara sehingga Ogos tahun ini.
“Manakala, pada fasa ketiga baki penerima ini akan disalurkan kepada golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula pada Mei sehinga Februari 2022.
“Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang dihasilkan Pfizer dan BioNTech ini akan diagihkan secara percuma membabitkan 80 peratus populasi dengan jumlah 26.5 juta rakyat Malaysia di negara ini,” katanya dalam perutusan khas disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen serta platform media sosial hari ini.
Muhyiddin berkata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi menyelia program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara ini.
Katanya, lantikan itu sebagai mengetuai satu Pasukan Pertugas Khas yang menguruskan pelaksanaan
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri dan agensi Kerajaan.
“Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan untuk terus menumpukan kepada fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan.
“Kerajaan mengalu-alukan penyertaan sukarelawan, mahasiswa dan mahasiswi, pemimpin masyarakat, agamawan, badan bukan kerajaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John Ambulance, pihak swasta dan rakyat Malaysia keseluruhan bagi bersama-sama menghulurkan bantuan sama ada dari aspek perubatan dan bukan perubatan, khususnya aspek pendidikan kesihatan di pusat-pusat vaksinasi bagi menjayakan program ini,” katanya.