Program Agro Madani FAMA Melaka perlu jadi contoh negeri lain
BANDA HILIR 19 Mac – Kejayaan Program Agro Madani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang meraih kutipan melebihi disasarkan perlu menjadi contoh kepada negeri lain supaya memberi manfaat kepada peniaga dan pembeli.
Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, program yang dianjurkan sejak 16 Mac lalu yang bersifat serampang dua mata itu seharusnya dijadikan contoh kepada negeri lain malah menyarankan ia perlu dianjurkan bagi memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, negeri lain juga perlu mencontohi Kerajaan Negeri Melaka yang menyediakan peruntukan khas buat FAMA negeri bagi menjayakan program seumpama itu sekali gus memberi peluang petani memasarkan produk yang dihasilkan mereka.
“Secara peribadi kita menggalakkan Kerajaan Negeri lain untuk menjadikan program seperti ini di negeri masing masing, kita mahu penganjuran dalam program dengan nama yang berbeza tetapi matlamat dan pengisian program itu sama untuk memastikan situasi menang-menang ini dapat diterima antara petani dan pembeli.
“Kita mahu petani kekalkan dalam industri ini, kita tidak mahu menekan petani jadi kita bawa mereka ke program seperti ini dengan harapan tiada lagi munculnya ‘orang tengah’ dan kita boleh berikan harga yang lebih rendah agar petani dapat keuntugnan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Agro Madani FAMA Negeri Melaka diadakan di Dataran Memorial Perishtiharaan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam tadi.
Hadir sama Pengarah FAMA negeri, Hairudin Yunos.
Dalam pada itu Abdul Rashid berkata, FAMA akan terus memastikan keterjaminan makanan dan harga barangan munasabah dalam penganjuran Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Khas Pasca Banjir di Johor.
Jelasnya, selain hasrat itu usaha membantu mangsa pasca banjir di negeri itu dan kawasan titik panas terlibat akan diperluaskan agar barangan yang bermutu dan berpatutan dapat memberi jaminan kepada rakyat.
“Kita juga akan anjurkan program-program jualan pasca banjir seperti akan datang FAMA akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor di mana 35 lokasi kawasan pasca banjir akan dianjurkan program-program seperti JTDL Khas Pasca Banjir dan Pra Ramadan bermula bulan ini sehingga awal Ramadan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.