Prof Datuk Dr Sidek Baba dinobat Tokoh PENAMA
BUKIT BARU 20 Dis. – “Selagi ada hayat saya, Insha-Allah saya akan terus menulis,” kata Datuk Profesor Dr Sidek Baba selepas beliau dinobatkan sebagai Tokoh Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) sempena Majlis Sambutan Jubli Emas persatuan itu di sini hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Hang Tuah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM).
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Senator Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad serta Ketua Satu PENAMA yang juga Timbalan Pengerusi PERPUSTAM, Datuk Wira Othman Muhammad.
Dr Sidek berkata, sehingga ini beliau telah menghasilkan 50 buah buku pelbagai genre termasuk sastera, agama dan pendidikan.
Beliau yang juga Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 berkata, anugerah itu mengingatkannya tentang perjuangan dirinya dalam PENAMA ketika menjadi Ketua Satu selama tiga tahun.
“Di situ saya melanjutkan kegiatan saya untuk terus menulis sehingga hari ini, saya telah menulis 50 buku tentang sastera dan agama serta pendidikan, ilmu dan bangak lagi.
“InshaAllah dalam usia saya yang agak tua ini, saya akan terus menulis supaya ia menjadi khazanah kepada generasi masa hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata selagi masih bernyawa, beliau akan terus menabur bakti dalam dunia penulisan terutamanya mengenai Pendidikan Islam dan mahu masyarakat umum memahami tentang ilmu itu.
Dr Sidek yang dilahirkan di Kampung Pulau, Masjid Tanah pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menangani Hal Ehwal Pembangunan Pelajar pada tahun 1994 hingga 2002.