Produk usahawan kecil antara tarikan Festival D’Bendang Melaka 2024
AYER KEROH 1 Ogos – Pengunjung ke Festival D’Bendang Melaka 2024 bermula 9 hingga 11 Ogos ini, berpeluang untuk mendapatkan pelbagai jenis produk keluaran 150 usahawan kecil tempatan dan dari negeri luar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis berkata, penyertaan usahawan kecil di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu dijangka akan memeriahkan lagi penganjuran Festival D’Bendang Melaka 2024.
“Penyertaan amat positif, kita bantu mereka untuk menjana pendapatan, pada masa yang sama kehadiran peniaga ini memeriahkan lagi pengajuran festival.
“Lebih menarik pada Ahad iaitu hari terakhir festival akan berlangsung konsert dan petunjukan bunga api,” katanya kepada Melaka Hari Ini semasa Podcast Mana Lagi, Melaka Ler! bersama Adun Sungai Rambai bagi mempromosikan Festival D’Bendang Melaka 2024 di Studio Melaka TV di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, bagi keselesaan pengunjung pihaknya menyediakan tapak parkir yang lebih sistematik yang mampu menampung sehingga 200 buah kenderaan.
“Tahun ini kita tambah baik tapak parkir untuk kemudahan pengunjung datang ke festival, ada tiga tapak parkir dalam cadangan.
“Insya-Allah dengan kerjasama penduduk setempat kita boleh menyediakan parkir kenderaan lebih tersusun dan teratur kali ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.