Sorting by

×

Produk pelancongan percuma pada 20 Februari 2024 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Januari – Semua pelancong yang berkunjung ke Melaka pada 20 Februari depan berpeluang menikmati produk pelancongan secara percuma.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran itu meliputi beberapa produk pelancongan terkenal di negeri ini antaranya meliputi Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan muzium-muzium yang ada.

“Kita tunggu 20 Februari ini yang mana kita isytihar sebagai cuti umum Negeri Melaka, pada hari tersebut semua yang datang ke Melaka dapat menikmati perkhidmatan percuma bagi produk pelancongan itu.

“Pada waktu itu juga kita bakal mengadakan cabutan bertuah menarik bagi mereka (pelancong) dapat bersama-sama merasakan bahawa negeri pelancongan ini bekerjasama dengan industri pelancongan yang menyokong di antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pemain industri pelancongan yang ada di negeri ini.

“Tidak kisah sama ada sektor pelancongan melibatkan perhotelan, kraftangan dan lain-lain selagi ia mendapat faedah daripada promosi pelancongan ini.

“Saya yakin pada masa sama, ekosistem ini juga akan memberi pulangan baik kepada rakyat yang mana mereka akan dapat menikmati dasar yang dibuat oleh kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6046
Kongsi :
Previous post Diskaun hingga 55 peratus untuk pelancong ke Melaka – KM
Next post Kerjasama rakyat, pelbagai pihak bantu promosi Melaka
Ubah saiz-+=