Produk mengandungi steroid anabolik bernilai lebih RM1 juta dirampas

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 26 Mac. – Kira-kira 300 produk mengandungi steroid anabolik, produk psikotropik, bahan terlarang lain serta produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bernilai RM1.2 juta, dirampas dalam satu operasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata, dalam operasi Selasa lepas melibatkan cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu, sebanyak 10 premis diserbu.

“Tindakan ini diambil rentetan beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik di platform e-dagang. Turut dirampas beberapa peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium memasarkan produk,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Dr Faridah Aryani Md Yusof

Dr Faridah Aryani berkata, penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Manakala steroid yang dikategorikan sebagai racun terkawal dan kerap disalah guna untuk membina otot badan, menurutnya hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi.

Beliau menjelaskan selain boleh merosakkan buah pinggang, penggunaaan steroid tanpa pengawasan, boleh menyebabkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon di dalam badan.

Beliau menasihati pengguna supaya memastikan produk kesihatan yang ingin dibeli, mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL).

Katanya sebarang penjualan produk tidak berdaftar boleh dilaporkan orang ramai melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my, atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) http://moh.spab.gov.my atau mana mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran atau hubungi talian 03-78413200.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

824
Kongsi :
Previous post FAMA sasar RM500,000 menerusi penganjuran MAM 2021
Next post Bekas pekerja syarikat telekomunikasi mengaku bersalah terima suapan RM15,000
Ubah saiz-+=