Sorting by

×

PRODUK MAKANAN SEJUK BEKU DARI KUALA LINGGI SEMAKIN LARIS

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 15 Januari – Kesungguhan seorang suri rumah Siti Fuatdatul Nor Yusuff yang mahu meningkatkan taraf hidup keluarganya menerusi bidang perniagaan akhirnya membuahkan hasil apabila kini bergelar usahawan berjaya dalam produk makanan sejuk beku.

Wanita berusia 40 tahun itu berkata dia melihat perniagaan makanan ‘frozen’ sangat berpotensi di Melaka kerana sering menjadi pilihan orang ramai, khususnya mereka yang bekerjaya.

Atas faktor tersebut, anak kelahiran Kuala Linggi itu mencabar dirinya memulakan perniagaan pada tahun 2017 hanya dengan menjual karipap sejuk beku bagi mengisi waktu lapang sebagai suri rumah.

“Tidak sangka pula lama kelamaan saya semakin seronok dengan perniagaan ini dan kini saya ada lapan jenis produk makanan sejuk beku.

“Apabila anak-anak sudah mula sekolah, saya tiada apa-apa aktiviti, jadi untuk mengisi waktu lapang saya cuba bidang baharu, selain dapat menambah pendapatan sendiri ini juga boleh membantu suami.

“Bermula dengan menjual dari rumah ke rumah sahaja, alhamdulillah perniagaan ini semakin berkembang selepas hampir tujuh tahun, di mana ia turut dijual secara dalam talian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, ibu kepada tiga anak itu diziarahi Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya Tuminah Kadi @ Mohd Hashim di premisnya di Taman Seri Gamelan, di sini.

Img 20250114 190201 003
SITI Fuatdatul menunjukkan penghasilan produk makanan sejuk bekunya kepada Allex dan Tuminah pada program Ziarah Usahawan DUN Kuala Linggi. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurut Siti Fuatdatul, di atas permintaan yang semakin menggalakkan, dia kini mampu menjual lebih 50 peket pelbagai produk makanan sejuk beku dalam sehari.

“Produk yang paling mendapat sambutan adalah karipap dan sardin gulung, terdapat juga produk lain seperti donat, roti sosej dan lain-lain.

“Saya tidak pernah terfikir sampai ke tahap ini, daripada menjadi seorang suri rumah kini saya boleh hasilkan banyak produk makanan sejuk beku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

79
Kongsi :
Previous post NASIB NELAYAN MELAKA TERUS TERBELA
Next post USIA 56 TAHUN BUKAN PENGHALANG SAMBUNG BELAJAR
Ubah saiz-+=