Produk inovasi bantu komunikasi atas bot
MERLIMAU 24 Mei – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mengadakan perkongsian kepakaran teknikal kejuruteraan serta khidmat penyelidikan dan inovasi kepada komuniti setempat menerusi Program ‘Innovation To Community (IN2C), baru-baru ini.
Pengarah PMM Norizam Sekak berkata, seramai 30 sukarelawan terdiri daripada pelajar, pensyarah dan staf sokongan turut serta menjayakan program tersebut.
Katanya, program yang berlangsung di Kesang River Cruise, Tangkak itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat serta meningkatkan tahap komunikasi semasa berada di atas bot.
“Kita turut menyerahkan produk inovasi yang dihasilkan oleh pelajar PMM dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik yang diberi nama ‘Portable Announce Player (PANNO Player) kepada wakil syarikat swasta.
“Produk ini dibangunkan bagi membantu pengusaha bot Kesang River Cruise untuk menyampaikan maklumat serta meningkatkan tahap komunikasi semasa.
“Melalui produk inovasi ini secara tidak langsung PMM dapat membantu komuniti setempat menyelesaikan masalah dihadapi pengusaha bot,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Norizam berkata, pihaknya berharap pelbagai bentuk kerjasama terus dijalin pada masa akan datang bagi menghubungkan kepakaran PMM bersama komuniti.
“Menerusi program ini juga kita dapat menyumbang kepada kebajikan penduduk serta dapat membantu meluaskan kesedaran khususnya kepada pelajar terhadap kesusahan atau masalah yang dialami oleh sebahagian masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.