Sorting by

×

Produk baharu bantu pacu pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDA HILIR 29 Oktober – Agensi swasta di negeri ini disaran memainkan peranan dalam membantu Kerajaan Negeri menghasilkan produk baharu bagi merancakkan lagi industri pelancongan di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kerjasama pihak swasta penting memandangkan ia terbukti berjaya memacu pencapaian beberapa industri lain di Melaka yang kini mencipta nama di mata dunia dan menjadi kebanggaan rakyat negeri ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sektor pelancongan juga perlu sentiasa peka dengan aspirasi pelancongan global, yang mana pelancongan kini tidak lagi sekadar melawat tempat bersejarah sebaliknya meliputi segala-galanya termasuk makan, minum dan kesihatan.

“Oleh itu pengamal sektor ini perlu berfikiran terbuka menerima pembaharuan agar seiring dengan kehendak masyarakat.

“Malah Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha untuk memperkasakan produk pelancongan agar terus menjadi penyumbang terbesar dalam sektor perkhidmatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Perasmian Muzium Pisau Jaya Mata Melaka, di Jonker Walk, di sini, malam tadi.

IMG_20221029_032142_476
BANDA HILIR 29 Oktober – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi mengadakan lawatan di ruang pameran sempena Majlis Perasmian Muzium Pisau Jaya Mata Melaka, di Jonker Walk. Foto Iqmal Haqim Rosman

Teks ucapannya dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi.

Mengulas lanjut, Sulaiman menzahirkan harapan untuk melihat lebih banyak produk-produk pelancongan tempatan yang bakal mencipta nama di persada antarabangsa dengan inisiatif sendiri dan dibantu oleh promosi daripada agensi pelaburan Kerajaan Negeri.

“Di fasa endemik ini, Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 5.6 juta pelancong datang ke Melaka dengan memperhebatkan lagi acara, promosi dan pakej-pakej pelancongan menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2399
Kongsi :
Previous post Tiga beranak maut: Pemandu lori akan direman esok
Next post Gilap permata Tanjung Bidara
Ubah saiz-+=