PRODUK AIR TANGAN BEKAS PENSYARAH ‘LAKU KERAS’

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

SERKAM 8 Oktober – Minatnya terhadap hidangan makanan arab dan semangat keusahawanan yang ada dalam diri, mendorong Tajul Ariffin Abdullah, melakukan eksperimen bagi menghasilkan pes segera nasi arab mendhi.

Tajul Ariffin, 57, tidak berasa kesal terjun ke dunia perniagaan meskipun sebelum ini masa depannya terjamin kerana berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti awam di negeri ini.

Meskipun kejuruteraan dan penyediaan makanan adalah dua bidang berbeza, semangat untuk berjaya membantu Tajul Ariffin dalam menghasilkan produk nasi arab mendhi sedia dimasak (ready to cook) yang diberi nama Al-Taj Pes Segera Nasi Arab Mendhi pada 2015.

Pengasas jenama Al-Taj ini berkata, nasi arab menjadi ‘signature’ untuknya kerana pada sembilan tahun lepas, hidangan nasi arab adalah menu eksklusif selain harga bagi satu hidangan adalah agak mahal.

“Saya suka memasak selain untuk keluarga, saya juga selalu memasak untuk kenalan, alhamdulillah ramai yang suka air tangan saya hingga ada yang membuat tempahan. Kemudian saya dapat idea dan berfikir macam mana untuk menjadikan hidangan nasi arab ini dapat dimakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

“Saya mula lakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan) dengan menggunakan resepi daripada ibu sebelum memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah,” katanya ketika ditemui di kilang Al-Taj di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam.

6334620778263330717
TAJUL Ariffin menunjukkan Anugerah Khas Maulidur Rasul bagi kategori Pemegang Sijil Pengesahan Halal Negeri Melaka (IKS) ketika ditemui di kilang Al-Taj di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Dia memberitahu, permulaan langkahnya dalam bidang perniagaan berjalan lancar selepas berpindah ke Melaka, apabila syarikatnya berjaya memperoleh sijil halal dan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) pada penghujung 2018.

“Selepas pes nasi arab mendhi, saya perkenalkan pula menu baharu iaitu pes nasi arab kabsah. Jika sebelum itu keluaran produk hanya ‘ready to cook’, saya kemudiannya selangkah kehadapan dengan perkenalkan produk ‘ready to eat’.

“Dari tahun ke tahun saya lakukan R&D untuk mempelbagaikan produk dan yang terbaharu dikeluarkan pada tahun lepas adalah nasi ayam serta ayam golek.

“Setiap hidangan atau produk baharu yang diperkenalkan mengambil masa kira-kira setahun untuk R&D, saya teliti tentang aspek kualiti dan rasa, kita amat menitikberatkan khasiat dalam hidangan,” katanya.

Tajul Ariffin berkata, selepas hampir 10 tahun Al-Taj ditubuhkan, syarikatnya kini mempunyai kira-kira 40 produk antaranya Nasi Putih Basmathi-Ayam Masak Hitam, Nasi Lemak Sambal Kerang, Nasi Arab Mendhi-Rendang Ayam Klasik, Lemang dan Rendang Ayam Klasik, nasi lemak dan pelbagai rempah perapan.

“Alhamdulillah, produk kami banyak dibawa keluar negara oleh agensi-agensi kerana ia mudah dan cepat disediakan selain menepati citarasa ramai.

“Malah dalam cabaran untuk kekalkan produk Al-Taj di pasaran, kami sudah tiga kali memperoleh sijil halal dan MeSTI selain tanpa disangka kami terpilih memenangi Anugerah Khas Maulidur Rasul bagi Pemegang Sijil Pengesahan Halal Negeri Melaka (IKS),” katanya.

Jelas bapa kepada lima anak itu, anugerah yang diterimanya itu merupakan amanah untuk melakukan yang lebih baik selain bersedia menjadi rujukan khususnya kepada usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

156
Kongsi :
Previous post JALAN BAHARU AYER LIMAU-JERAM, PEMANGKIN EKONOMI MASJID TANAH
Next post PREMIS KOTOR, LANGGAR SYARAT LESEN BABIT WARGA ASING DIKOMPAUN MBMB
Ubah saiz-+=