Sorting by

×

Proaktif pacu kembali pelancongan golf – MITA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 19 Feb – Pemain industri pelancongan perlu lebih proaktif dan kreatif dalam menarik kehadiran pelancong untuk menghidupkan kembali pelancongan golf di negara ini yang terjejas akibat COVID-19.

Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis berkata, penganjuran Melaka Tourism Golf Challenge 2022 dilihat mampu menjadi platform dalam menaikkan kembali pelancongan golf.

Katanya, hal itu penting kerana Malaysia kini perlu bersaing dengan negara luar yang semakin berkembang dalam industri pelancongannya terutama dari Thailand, Arab Saudi dan Singapura.

“Kejohanan hari ini kita anggap sebagai satu kick starter untuk pelancongan golf (golf tourism). Kita tahu pelancongan golf ini satu segmen yang penting dalam industri sukan dan pelancongan kerana kita ada 250 padang golf di seluruh Malaysia.

“Jadi, agensi pelancongan perlulah proaktif untuk dalam menarik pelancong dan pada masa sama memperkenalkan sub sektor pelancongan golf di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan Melaka Tourism Golf Challenge 2022 di Ayer Keroh Country Club (AKCC) di sini hari ini.

UZAIDI

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman dan YDP Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Tourism Malaysia, Saidi Bundan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, katanya, dua inisiatif kerajaan iaitu program gelembung pelancongan (travel bubble) Langkawi dan skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) antara Singapura dengan Malaysia dilihat dapat menghidupkan semula pelancongan golf.

Katanya adalah satu kerugian apabila sejak Nov lalu lebih 4,500 pelancong yang datang Langkawi melalui inisiatif tersebut tidak dapat memanjangkan penginapan mereka dan bermain golf.

“Kalau mereka (pelancong) tinggal lebih lama, mereka akan berbelanja lebih termasuklah bermain golf.

“Kita juga harap pada peringkat seterusnya dengan adanya prosedur operasi standard baharu Kementerian Pelancongan, pelancongan golf akan meningkat kembali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post Laksana gaji minimum RM1,500 secara holistik – PM
Next post Anak yatim teruja pertama kali tonton wayang di pawagam
Ubah saiz-+=