
PRN Sarawak: SPR tangguh keputusan DUN Mulu
KUCHING, 18 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan keputusan bagi 81 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 dan menangguhkan keputusan kerusi DUN Mulu ekoran faktor keselamatan.
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata petugas pilihan raya yang menaiki helikopter untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi undi berhadapan dengan cuaca buruk selain terputus perhubungan jalan darat.
“Sehubungan itu, keputusan pilihan raya bagi DUN (Mulu) akan diumumkan sebaik sahaja kami menerima peti undi berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Menurutnya peratusan dan jumlah pengundi yang keluar mengundi pada pilihan raya negeri itu juga akan dimaklumkan semasa pengumuman keputusan DUN Mulu.
Abdul Ghani turut mengumumkan bahawa daripada 81 kerusi DUN itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 75 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi manakala DAP meraih dua kerusi.
Mengenai 55 peratus pengundi yang keluar mengundi sehingga 4 petang tadi, beliau berkata faktor cuaca yang tidak menentu berikutan hujan lebat adalah antara sebab utama peratusan itu berkurangan seperti yang dijangkakan.
Pengerusi SPR itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengendalian PRN Sarawak kali ini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.