Sorting by

×

PRN Sarawak: GPS umum senarai penuh calon 4 Dis – Abang Johari

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MIRI 24 Nov – Senarai penuh calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diumumkan pada 4 Dis ini, kata Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata GPS sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi PRN, malah gabungan itu kini dalam peringkat akhir untuk menetapkan calon yang akan bertanding.

“GPS memang sudah bersedia… hanya tinggal untuk final tune sahaja. Kita akan umum senarai calon dua hari sebelum hari penamaan calon, saya akan umum semua terus,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis membuka tirai Kompleks Sekolah Sri Mawar yang baharu di South Lake Bandar Baru Permyjaya, Kuala Baram, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Dis, dengan undi awal pada 14 Dis, manakala 18 Dis ditetapkan sebagai hari mengundi, yang akan melibatkan keseluruhan 1,252,014 pemilihan berdaftar.

Terdahulu, Abang Johari semasa berucap di majlis pecah tanah projek perumahan mampu milik Vista Perdana Fasa 3 di Permyjaya di sini berkata, adalah penting bagi Sarawak ditadbir oleh kerajaan negeri yang stabil dan mampu berkhidmat untuk rakyat.

Beliau berkata GPS adalah sebuah kerajaan negeri yang paling stabil kerana kumpulan pemimpin dan ahli politiknya yang komited untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kita perlukan kerajaan negeri yang stabil dan kerajaan Sarawak ketika ini (GPS) adalah yang paling stabil…jangan rosakan kerajaan ini.

“Kita juga menolak budaya ‘katak’ (lompat parti). Orang Sarawak tak mahu ‘katak’ (pemimpin lompat parti) dan mujur di negeri ini tidak banyak ‘katak’,” katanya menambah Sarawak juga bukan sahaja mahu kerajaan negeri yang stabil, malah kerajaan Persekutuan yang stabil.

Program itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Prof Dr Sim Kui Hian.

Pada majlis itu Abang Johari dan Reezal Merican turut menyaksikan pemeteraian memorandun persefahaman (MoU) antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan Kumpulan Syarikat Naim (NAIM).

Secara keseluruhan pembangunan Projek Vista Perdana dianggarkan merangkumi 2,446 unit rumah dengan komposisi saiz rumah antara 750 hingga 1,276 kaki persegi dengan projek fasa 3 melibatkan 694 unit rumah teres setingkat berkeluasan 900 kaki persegi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

970
Kongsi :
Previous post Edar kanabis lebih 700 gram, penghantar makanan dihukum gantung
Next post MPHTJ teruskan insiatif ‘Melaka Bebas Berniaga’
Ubah saiz-+=