Sorting by

×

PRN Sarawak: Beri peluang kepada GPS untuk wujudkan Sarawak yang lebih baik – Abang Johari

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUCHING, 17 Dis – Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) Sabtu ini, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg merayu pengundi untuk memberikan gabungan itu peluang mewujudkan Sarawak yang lebih baik.

Ketua Menteri itu berkata dengan mandat penuh oleh penduduk Sarawak, GPS akan terus berusaha bagi memastikan keselamatan awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi bagi Sarawak, masa ini dan akan datang terjamin.

Beliau berkata pasukan GPS meneruskan agenda pembangunan sosioekonomi bagi mewujudkan sumber kekayaan di samping menjana lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan kepada belia dan masa depan Sarawak.

“Kami akan memastikan kemakmuran Sarawak yang berterusan supaya rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang terancang, holistik dan inklusif.

“Kami, pasukan GPS akan sentiasa berjuang berusaha melindungi dan mempertahankan hak rakyat dan kepentingan Sarawak sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Negeri Sarawak dan juga Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Johari berkata ini terbukti dengan lulusnya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat Selasa lepas.

“Janganlah kita menggadaikan masa depan kita. Kita harus mengambil iktibar dari kegagalan Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu bertanan 22 bulan kerana lemah dan tidak stabil.

Beliau berkata masa depan Sarawak bergantung kepada kerajaan yang kuat, stabil dan komited untuk mempertahankan hak-hak rakyat serta kepentingannya, dan GPS yang berpengalaman, cekap, disegani, berintegriti tinggi dan mempunyai rekod prestasi cemerlang.

“Berilah peluang kepada GPS untuk terus berjuang demi kecemerlanean Sarawak untuk kemakmuran kita semua. Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang stabil, makmur dan gemilang, untuk menjadikan Sarawak Maju menjelang tahun 2030,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

595
Kongsi :
Previous post Zii Jia mara ke suku akhir kejohanan dunia
Next post Bajet Melaka 2022 : Masyarakat, peniaga Cina perlu dibantu – Fun Juan
Ubah saiz-+=