PRN Melaka: Polis jamin keselamatan rakyat diutamakan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 11 Okt – Polis Melaka memberi jaminan akan memastikan keselamatan rakyat menjadi keutamaan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) tetap diadakan.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, pihaknya sudah bersedia lebih awal dengan mengadakan mesyuarat secara maya bagi menentukan langkah-langkah keselamatan yang perlu sekiranya pergolakan politik masih berterusan.

Bagaimanapun ujar beliau, tiada apa yang perlu dirisaukan oleh rakyat Melaka memandangkan situasi buat masa ini masih lagi aman.

“Antara perkara yang dititikberatkan jika PRN diadakan ialah dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bukan sahaja dari segi keselamatan, tetapi juga aspek kesihatan akan diambil kira memandangkan kita masih dalam fasa pandemik COVID-19.

“Buat masa ini, kita masih lagi menunggu pengumuman berhubung PRN itu, tetapi walau apa pun, Polis Melaka tetap memberi jaminan bahawa keselamatan rakyat akan menjadi keutamaan,” katanya yang ditemui dalam sidang media di Plaza Tol Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas mengenai kekuatan anggota, Razali berkata, buat masa ini tiada cuti yang dibekukan bagi menghadapi PRN tersebut.

“Setakat ini tiada pengumuman bahawa cuti anggota dibekukan, namun, segala permohonan cuti anggota akan dipertimbangkan terlebih dahulu selagi tarikh PRN belum diumumkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan buat masa ini, pihaknya juga belum menerima sebarang laporan polis berhubung keabsahan kerajaan sementara atau keengganan individu tertentu memulangkan aset kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

686
Kongsi :
Previous post Rentas Melaka demi asam pedas
Next post Pesuruhjaya PAS Melaka sahkan bertanding DUN Duyong
Ubah saiz-+=