PRN Melaka: Penyandang kerusi tiga penggal tidak lagi dicalonkan BN
MASJID TANAH 5 Nov – Penyandang kerusi tiga penggal mewakili Barisan Nasional di Melaka tidak lagi dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.
Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi membolehkan lebih ramai pemimpin pelapis diberi peluang selaras dengan janji yang diberikan pada Perhimpunan Agung UMNO lalu.
“Selaku Pengarah PRN untuk menterjemah hasrat parti untuk melakukan peremajaan dan proses memberi peluang pelapis-pelapis untuk ambil tempat.
“Mereka ini calon baharu dan bukan sebarangan orang, mereka juga pemimpin di peringkat bahagian, tetapi mereka ini dahulunya lama duduk di bawah.
“Sebab ramai yang sudah tiga penggal. Jadi, yang tiga penggal ini, mereka memberi laluan kepada calon muda setelah tiga penggal mewakili DUN masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Negeri Sembilan sebagai ‘negeri angkat’ bagi tiga DUN di Parlimen Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya percaya tiada istilah ‘merajuk’ bagi calon lama yang tidak dicalonkan lagi.
“Ini tidak ada masalah. Datuk Latipah, Datuk Amiruddin, semua ada di sini tadi, mereka berjanji dan telah pun menyerahkan tugas pengarah pilihanraya DUN kepada bakal calon,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.