PRN Melaka: Pengundi wajib pakai pelitup muka, sanitasi tangan empat kali
AYER KEROH 19 Nov – Pengundi yang bakal menunaikan kewajipan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok diwajibkan memakai pelitup muka, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, selain itu pengundi juga perlu melalui proses saringan suhu, mengamalkan penjarakan fizikal dan perlu menggunakan pensanitasi tangan di kesemua empat stesen yang disediakan.
Katanya, pensanitasi tangan akan dibekalkan di pintu masuk pusat mengundi, pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.
“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan.
“Manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, SPR menasihati pengundi agar keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti mana tercatat dalam aplikasi MySPR Semak.
Beliau berkata, sekiranya pengundi tidak dapat hadir mengikut masa ditetapkan atas sebeb tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.
Namun, beliau meminta pengundi agar tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.
“SPR juga ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU DUN Melaka ke-15 esok.
“Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.