Sorting by

×

PRN Melaka: MT UMNO ada sidang khas malam ini

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 14 Okt – Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO akan bermesyuarat pada malam ini (Khamis) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang dijangka akan diadakan hujung bulan depan.

Ini adalah pertama kali kepimpinan tertinggi UMNO bermesyuarat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar dari parti kerajaan.

Mesyuarat, yang akan dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akan memutuskan sama ada Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo atau mengadakan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), yang dianggotai oleh Bersatu dan PAS di Melaka.

Sekiranya UMNO bertanding solo, semua kerusi 28 kerusi DUN Melaka akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru di antara BN, PN dan Pakatan Harapan (PH).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh PRN Melaka Isnin ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, yang juga Ahli MKT, akan membentangkan situasi semasa politik negeri, termasuk persediaan jentera berdepan PRN.

Turut hadir Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan ketiga-tiga Naib Presiden – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

PRN Melaka merupakan satu ‘ujian politik’ buat Ismail Sabri, yang menjadi Perdana Menteri di bawah kerajaan PN pada 20 Ogos lalu.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. PN kini mempunyai hanya 13 kerusi setelah empat ADUN keluar daripada PN. UMNO kini mempunyai 12 kerusi berbanding 14 sebelum ini.

PH (DAP, Amanah dan PKR) kini memegang 11 kerusi dan Bebas empat kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

993
Kongsi :
Previous post UTeM tersenarai dalam THE World University Rankings by Subject 2022
Next post 7 PPV masih aktif di Melaka
Ubah saiz-+=