Sorting by

×

PRN Melaka: Jangan sisih calon ‘orang lama’

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

MASJID TANAH 5 Okt. – Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Wira Latipah Omar beranggapan Barisan Nasional (BN) perlu terus menampilkan calon-calon lama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, pemilihan calon yang berpengalaman amat penting memandangkan merekalah yang memperjuangkan parti keramat UMNO selama ini.

Namun, beliau menegaskan itu tidak bermaksud muka-muka baharu atau anak muda akan disisihkan, sebaliknya satu gandingan dua generasi ini dipercayai akan dibentuk pada PRN kali ini.

“Bagi saya tak ada lama, tak adalah yang baharu. Kita mesti ada kesinambungan yang mana kita tidak menyisihkan orang lama dan begitu juga orang muda.

“Parti UMNO keramat ini kalau tiada orang lama yang mempertahankannya, ia akan jadi tempang dan tidak seimbang.

“Jadi, saya menyeru anak-anak muda di luar sana, hormati dan dekatilah (siapa juga calon) UMNO nanti,” katanya yang ditemui di Villa D’Acqua Masjid Tanah, sebelum mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO yang akan diadakan malam ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning berkata, Wanita UMNO Melaka telah bersiap sedia untuk menghadapi PRN akan datang demi memastikan BN akan kembali bertapak di Melaka.

“Insya-Allah, kita akan memperjuangkan hingga ke titisan yang terakhir dan saya yakin gelombang enam kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu akan memberikan keputusan terbaik kepada kita pada PRN Melaka nanti,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post Kadar vaksinasi penuntut IPT kini 82 peratus
Next post Kesal kemelut politik Melaka sengaja diwujudkan demi agenda peribadi- Shahril
Ubah saiz-+=