PRN Melaka bukti demokrasi negara positif – Penganalisis Politik
BANDARAYA MELAKA 21 Nov- Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 membuktikan amalan demokrasi negara menuju ke arah yang lebih positif.
Penganalisis Keselamatan & Politik
Pusat Pengajian Perang Saraf & Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata meskipun peratusan keluar mengundi tidak menepati sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi prosedur operasi standard (SOP) yang dirancang dipatuhi.
Katanya, kerjasama antara pelbagai agensi berkaitan memperlihatkan negara mampu mengadaptasi norma terkini dalam memastikan amalan demokrasi dan kepentingan negara berjaya dilaksanakan.
“Apa yang lebih penting adalah kempen digital tanpa bersemuka telah berjaya mewujudkan segmentasi baru dalam perang saraf gerak saraf dan propaganda politik.
“Kreativiti serta ekplorasi idea positif calon parti politik untuk mendekati masyarakat pengundi secara maya membina tatacara baru kempen politik negara.
“Inovasi perang gerak saraf serta propaganda politik pada kempen PRU Negeri Melaka dilihat lebih positif oleh calon – calon yang bertanding,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya propaganda politik seperti pembunuhan karakter, sindiran melampau, tohmahan mahupun pendekatatan perang dan gerak saraf secara negatif tidak lagi digunakan oleh calon yang bertanding khususnya dalam kalangan muka baru politik negara.
Katanya, pembaharuan itu perlu dikekalkan kerana propaganda politik serta gerak saraf yang terbaik adalah kempen positif dan berkepentingan rakyat sepenuhnya.
“Teras Keselamatan Negara melalui Dasar Keselamatan Negara oleh Majlis Keselamatan Negara juga menggariskan kepentingan kestabilan sosio politik antaranya adalah melalui membudayakan persekitaran politik sihat dan matang.
“Keselamatan politik perlu dijayakan oleh calon serta pemimpin parti untuk terus meyakinkan masyarakat terhadap kemampuan ahli politik negara melalui kempen propaganda serta gerak saraf positif berkepentingan rakyat,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.