PRN Johor: Rina harap 30 peratus wanita disenarai sebagai calon PN
SEGAMAT, 23 Jan – Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun berharap Perikatan Nasional (PN) memberi ruang kepada sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita Bersatu dan Wanita PN untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Dalam mana-mana pilihan raya pun kita berharap diberikan tempat juga kepada calon-calon wanita khususnya kepada Srikandi dan Wanita PN.
“Jadi kita harap agar sekurang-kurangnya 30 peratus yang akan bertanding terdiri daripada calon wanita,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Kotak Makanan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Kit Dana Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kampung Spang Loi di sini hari ini.
Seramai 126 mangsa banjir di kampung berkenaan menerima sumbangan kotak makanan, dapur gas dan tong gas.
Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Dalam pada itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata lebih 90 peratus daripada 37,000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan dengan banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat ini.
“(Senarai) nama tu kita dah selesaikan. (Senarai) nama itu telah diberikan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan NADMA telah menyerahkan BWI kepada lebih 90 peratus KIR (yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat) di pusat pemindahan sementara,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.