PRN JOHOR: Proses pengundian awal tamat jam 5 petang tadi
Bagaimanapun, terdapat pusat mengundi awal yang telah ditutup pada 12 tengah hari dan 2 petang.
Sebanyak 63 pusat mengundi dibuka bagi proses pengundian awal yang bermula 8 pagi tadi.
Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.
Meskipun hujan pada sebelah pagi, ia tidak menghalang anggota keselamatan dan pasangan mereka keluar menunaikan tanggungjawab, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 81 peratus setakat 3 petang tadi.
Menurut PDRM dalam satu kenyataan proses pengundian awal berkenaan berjalan dengan lancar dan aman.
Antara yang mengundi hari ini ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang juga bekas Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.
Selain kemudahan di IPK Johor, 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan pusat mengundi.
Anggota tentera turut melaksanakan undi awal antaranya di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.
Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN pada PRN kali ini.
Hari pengundian PRN Johor ditetapkan Sabtu ini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.