Sorting by

×

PRN Johor: Proses penamaan calon lancar, 239 calon bertanding

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

JOHOR BAHRU, 26 Feb – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini berjalan lancar dengan semua 239 individu yang menyerahkan borang pencalonan mereka diterima sebagai calon pilihan raya.

Untuk PRN Johor yang ke-15 ini, sebanyak 15 parti politik bertanding melibatkan tiga gabungan besar iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) selain penyertaan kali pertama parti-parti baharu seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Seramai 56 calon adalah daripada BN yang merupakan gabungan UMNO, MCA dan MIC yang bertanding di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan turut menampilkan 56 calon.

Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang bertanding di bawah tiket PH meletakkan calon di 30 kerusi manakala rakan mereka dalam PH iaitu PKR yang menggunakan logo sendiri mengetengahkan 20 calon.

PH melalui Amanah dan DAP turut bekerjasama dengan MUDA, sebuah parti baharu yang memperkenalkan tujuh calon, namun terdapat pertindihan kerusi antara MUDA dan PKR di DUN Larkin.

Pejuang pula menampilkan 42 calon, Warisan yang pertama kali bertanding di Semenanjung diwakili enam calon dan PBM pula empat calon.

Turut bertanding, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) dengan masing-masing satu kerusi selain terdapat 16 calon Bebas.

Daripada proses penamaan calon hari ini, seramai 202 calon adalah lelaki manakala 37 adalah calon wanita.

Memandangkan pilihan raya negeri tersebut juga menyaksikan pelaksanaan Undi18, parti-parti baharu turut menampilkan ramai wajah baru serta orang muda dengan dua calon termuda berusia 26 tahun iaitu Kelly Chye Pei Yee daripada BN yang bertanding di kerusi DUN Mengkibol dan Muhammad Airel Zabridin daripada Pejuang yang bertanding kerusi DUN Tangkak.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi, 71, yang mewakili PN bagi mempertahankan kerusi itu, merupakan calon tertua yang bertanding dalam PRN Johor.

Kerusi DUN Tiram dan Kempas menyaksikan persaingan sengit dengan masing-masing pertandingan tujuh penjuru manakala empat DUN iaitu Bukit Pasir, Maharani, Puteri Wangsa dan Larkin menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Pertandingan lima penjuru pula disaksikan di lapan DUN, empat penjuru (35 DUN) diikuti tiga penjuru (tujuh DUN).

Proses penamaan calon yang diadakan dalam keadaan norma baharu turut menyaksikan pelaksanaan ketat prosedur operasi standard (SOP) apabila seorang petugas media dikompaun RM1,000 kerana didapati melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika membuat liputan di pusat penamaan calon di Dewan Jabatan Kerja Raya Daerah Johor Bahru.

Turut dikenakan amaran terakhir kerana dipercayai melanggar SOP adalah seorang lagi petugas media daripada sebuah portal di pusat penamaan calon yang sama.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan hari pengundian pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

903
Kongsi :
Previous post Pantai Pengkalan Balak dan Padang Kemunting sunyi
Next post PRN Johor: Maszlee, Ab Mutalip bertanding empat penjuru di DUN Layang-layang
Ubah saiz-+=