PRN Johor: Pengalaman jadi wartawan kelebihan fahami rakyat – Zulkifli Bujang
JOHOR BAHRU, 28 Feb — Pengalaman bertugas sebagai wartawan menjadi kelebihan buat calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Bujang dalam memahami keperluan rakyat seterusnya membantu menyelesaikan isu dihadapi mereka, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, bekas wartawan Bernama TV berusia 44 tahun itu berkata beliau menceburi bidang kewartawanan sejak berusia 18 tahun, kerjaya yang mengajarnya untuk menyampaikan suara rakyat kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
“Sebagai wartawan saya bawa isu rakyat kepada pengetahuan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan di sesuatu kawasan, kerana kita faham apa dikehendaki rakyat dan sebagai media kita menjadi pengantara untuk menyampaikan suara mereka (rakyat).
“Apabila saya menjadi calon di Larkin ini, saya rasa amat faham apa diperlukan oleh rakyat… jadi saya rasa perlu laksanakan apa yang pernah dilalui dahulu. Kalau orang perlukan bantuan maka cari penyelesaian untuk keselesaan penduduk. Maka, itu yang boleh saya tawarkan kepada penduduk khususnya di DUN Larkin ini,” katanya.
Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian semasa menjadi tetamu pada program Suara Johor terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata pengalaman bekerja dalam sektor awam juga menjadi kelebihan buat dirinya terutama dari aspek pentadbiran dan perkara itu dilihat adalah kualiti yang perlu ada untuk menjadi wakil rakyat.
Justeru, beliau berharap pengalaman yang dimilikinya itu akan menjadi penanda aras atau ukuran bagi pengundi untuk menilai kualitinya sebagai seorang calon yang bertanding pada PRN Johor.
Zulkifli berdepan pertandingan enam penjuru, menentang Mohd Hairi Mad Shah (Barisan Nasional), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Parti Pejuang Tanah Air), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan NorRamadan Buan (Bebas).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.