Sorting by

×

PRN Johor medan pengalaman pertama Undi18 keluar mengundi

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

JOHOR BAHRU, 10 Mac – Tanggal 12 Mac, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi medan bagi 173,177 anak muda berusia 18 hingga 20 tahun, untuk merasai sendiri pengalaman keluar dan melalui proses mengundi bagi memilih wakil rakyat pilihan mereka.

Menyedari signifikan kohort berkenaan, calon-calon yang bertanding dalam PRN Johor mencari pendekatan di luar kotak, untuk menyalurkan maklumat yang perlu bagi mereka seperti memanfaatkan teknologi dengan menghasilkan video-video pendek di laman media sosial, berbanding pendekatan konvensional.

Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai Azrol Rahani berkata beliau menggunakan platform video, untuk memaklumkan secara lebih jelas kaedah pengundian kepada pengundi muda di kawasannya.

“Mungkin ada sebahagian anak muda berusia 18 hingga 20 tahun ini masih tidak tahu bahawa mereka sudah layak mengundi, dan di mana lokasi pengundian masing-masing” katanya kepada Bernama.

“Selain bergerak ke kawasan tumpuan ramai seperti di restoran, pasar malam dan padang bola, ini juga adalah pendekatan saya untuk meningkatkan kesedaran pengundi, supaya cakna dengan hak dan tanggungjawab dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri baharu,” tambahnya.

Calon Barisan Nasional bagi DUN Larkin Mohd Hairi Mad Shah turut mengambil langkah yang sama, di mana kebanyakan video yang dihasilkannya menunjukkan kaedah bagaimana untuk memangkah calon pada hari pengundian, dan membuat semakan nama di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini adalah pendekatan paling sesuai, kerana berdasarkan kajian di lapangan dan juga melalui panggilan telefon yang dibuat secara rawak, didapati memang terdapat orang muda memang tidak peka bahawa mereka sudah boleh mengundi, jika ada yang tahu pun sebab dimaklumkan oleh ibu bapa,” katanya.

Pengasas pertubuhan belia Johor – KITA Community, Raden Mohammad Azwan Naharudin berkata pendedahan mengenai kaedah pengundian, merupakan satu bentuk galakan untuk anak muda keluar mengundi.

“Kita anggap sekiranya peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda kurang, bermakna parti-parti politik gagal dalam menerangkan proses undi.

“Dengan berbaki beberapa hari sebelum pengundian, parti-parti politik boleh terus agresif tampil dengan kandungan berkesan, menjelaskan kewajaran mereka untuk keluar mengundi, asas yang perlu diambil kira sebelum memilih calon, selain daripada menghebahkan kaedah pengundian,” katanya.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata pengundi muda tidak seharusnya disamakan seperti pengundi veteran yang sudah biasa melalui pilihan raya, lantaran itu bimbingan terhadap kaedah pengundian dan maklumat perlu diberikan, bagi membantu mereka membuat pilihan.

“Golongan muda harus diyakinkan bahawa mereka menjadi ‘penentu’ kemenangan kepada mana-mana parti politik, di kerusi DUN yang sengit pertandingannya.

“Bererti jika jumlah keluar mengundi mereka melebihi 80 peratus pada hari pengundian, ia memang memberikan kesan positif kepada peluang tersebut,” kata pensyarah kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

PRN Johor pada 12 Mac ini menyaksikan seramai 173,177 anak muda layak mengundi di 56 DUN.

DUN Puteri Wangsa mempunyai paling ramai pengundi dari kumpulan itu dengan 11,157 pengundi, diikuti Kota Iskandar (10,941), Tiram (10,613), Permas (8,994), Perling (7,859), Johor Jaya (6,446) dan Skudai (5,949).

Kebenaran untuk mereka mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

940
Kongsi :
Previous post Perbezaan besar harga runcit petrol berbanding negara jiran buka ruang aktiviti penyeludupan – Tengku Zafrul
Next post PPV Offsite pemberian dos penggalak vaksin ditutup secara berperingkat – ProtectHealth
Ubah saiz-+=