PRN Johor: Logo berbeza tidak jejas hubungan rakan sekutu PH – Anwar
Beliau berkata meskipun menggunakan logo yang berbeza namun hubungan kepimpinan PH masih mantap selain ia bukanlah sesuatu yang aneh dalam pilihan raya, malah ia pernah berlaku sebelum ini.
“Logo ini tidak menjejaskan hubungan, Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013 pun kita guna logo masing-masing dan PKR ketika itu mantap, kemudian PRN Sabah, PKR pakai (logo) PKR, DAP guna logo Warisan, tetapi tidak menjejaskan hubungan.
“Ada orang cuba nak gunakan isu logo ini, seolah-olah ia belum pernah berlaku dan dibesar-besarkan. Kami guna (logo PKR) kerana sentimen terutama di desa, orang Melayu, itu pandangan kami dan bila berbincang, perkara itu disepakati,” katanya kepada pemberita selepas sesi town hall sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Pusat Kegiatan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kali ke-60 di sini hari ini.
Pada 26 Jan lepas, Majlis Presiden PH bersetuju membenarkan DAP dan Amanah menggunakan logo PH pada PRN Johor akan datang manakala PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.
Sementara itu Anwar yang juga Presiden PKR berkata syarat untuk parti itu meninggalkan rakan sekutunya, DAP, bagi membentuk kerjasama dengan mana-mana parti lain menghadapi PRN Johor tidak boleh diterima memandangkan DAP adalah induk PH sejak daripada awal. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.