Sorting by

×

PRN Johor: DUN Tiram, Kempas saksikan persaingan tujuh penjuru

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

JOHOR BAHRU, 26 Feb – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan Tiram menyaksikan persaingan sengit dengan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Kerusi DUN Kempas menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ramlee Bohani, Napsiah Khamis Maharan (PKR), Nornekman Osman daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nur Faizal Abdullah mewakili Perikatan Nasional (PN) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A Rahman dan Mohd Hambali Munadi.

Sementara itu, kerusi DUN Tiram pula melibatkan pertandingan antara Azizul Bachok daripada BN, Karim Deraman (PN), Abdul Aziz Harun (Pejuang), S. Gopalakrishnan (PKR), Mohd Azmi Ali (PBM) dan dua calon Bebas iaitu P.Bala Sundaram dan J.Jayasangkar.

Pertembungan enam penjuru pula berlaku di empat kerusi DUN iaitu di Bukit Pasir, Maharani, Puteri Wangsa dan Larkin manakala pertandingan lima penjuru pula di lapan kerusi iaitu di DUN Tangkak, Bukit Naning, Semerah, Senggarang, Endau, Permas, Stulang dan Kota Iskandar.

PRN Johor yang melibatkan 56 kerusi DUN juga menyaksikan pertembungan empat penjuru di 35 kerusi DUN manakala pertandingan tiga penjuru di tujuh kerusi DUN.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon disahkan bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 12 Mac manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada PRN itu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang merupakan pengundi awal yang terdiri daripada 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis manakala 376 lagi adalah pengundi tidak hadir luar negara.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1152
Kongsi :
Previous post PRN Johor: 239 calon layak bertanding
Next post Pantai Pengkalan Balak dan Padang Kemunting sunyi
Ubah saiz-+=