PRN Johor: DAP, Amanah guna logo PH…PKR guna logo sendiri
Selain itu, majlis berkenaan turut bersetuju untuk PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa mesyuarat juga bersetuju untuk memuktamadkan keputusan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR, DAP dan Amanah selain akan meneruskan rundingan kerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihan raya negeri Johor yang akan datang,” menurut kenyataan itu.
Sabtu lepas (22 Jan), Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata BN memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi meneruskan program-program rakyat, memandangkan majoriti tipis telah menyebabkan kerajaan negeri berjalan berdasarkan “ihsan pembangkang”. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.